Wednesday, July 22, 2020

PENGENALAN

PENGENALAN


Banyak definisi pengurusan dijelaskan tetapi tiada satu pun diterima secara sejagat. Mary Parker Follet menyatakan pengurusan “adalah seni yang dapat melakukan kerja melalui orang lain.” Definisi ini menarik perhatian pada perbezaan asas antara pengurus dengan kakitangan lain dalam organisasi. Seorang pengurus menyumbang ke arah pencapaian objektif organisasi secara tidak langsung dengan mengarahkan orang lain melakukan tugas tanpa pengurus melakukannya sendiri. Sebaliknya individu yang bukan seorang pengurus menyumbang secara langsung ke arah pencapaian objektif organisasi dengan melakukan tugas itu sendiri. Adakalanya, seorang itu memikul kedua-dua tugas secara serentak. Ini tiada beza dengan persekitaran sekolah malah kedua-duanya memerlukan organisasi yang jelas.

Kajian Azizah (2000) yang berpendapat bahawa hubungan mesra di antara murid dengan sekolah dan institusi keluarga berperanan untuk meningkatan perasaan kepunyaan dan membantu mengurangkan masalah disiplin. Beliau mendapati kemesraan dan keprihatinan guru terhadap murid dapat menjadikan murid merasakan diri mereka disayangi dan akhirnya menimbulkan perasaan sayangkan sekolah. Guru yang tidak senyum ketika masuk ke bilik darjah juga menjadi faktor penghalang kepada keberkesanan komunikasi antara guru dengan murid. Menurut Jaafar Muhammad (1998), pengurusan murid ialah satu proses mengagihkan input-input organisasi dengan cara perancangan, pengorganisasian, pengarahan dan pengawalan bagi tujuan untuk mengeluarkan output (perkhidmatan) yang diperlukan oleh pelanggan supaya objektif organisasi tercapai.

Sehubungan itu, Peter F. Ducker menyatakan pengurusan sebagai proses sosial yang dibentuk untuk memberi kerjasama, penglibatan, campur tangan dan penyertaan orang lain ke arah pencapaian yang berkesan bagi mencapai objektif utama. Menurut Azman B. Hj Adnan (Institut Aminuddin Baki) di dalam Kursus Pengurusan dan Kepimpinan menyatakan bahawa berlandaskan konsep asas pengurusan, pengurusan murid merupakan satu proses mengendalikan resos-resos sama ada manusia atau fizikal dengan tujuan untuk mencapai matlamat dan objektif pada tahap yang memuaskan.
Dalam erti kata lain, pengurusan murid merupakan proses-proses yang berkaitan dengan perancangan kerja atau program bagi murid, pengelolaan murid dan program secara berkesan, pengawalan dan penilaian prestasi murid dan program serta pemilihan cara yang relevan.

Kejayaan sesuatu sistem pendidikan dinilai melalui tahap pembelajaran dan perkembangan pelajar semasa mereka melalui sistem tersebut (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2013). Pentaksiran yang dilaksanakan di sekolah dan bilik darjah merupakan komponen yang paling sesuai untuk menguji tahap pembelajaran dan perkembangan pelajar. Pentaksiran dijalankan untuk mengetahui kekuatan dan kelemahan pelajar secara berterusan (Noor Azreen dan Sulaiman, 2013a).

Pembelajaran dianggap sebagai perolehan maklumat dan pengetahuan, penguasaan kemahiran dan tabiat, serta pembentukan sikap dan kepercayaan. Proses pembelajaran berlaku sepanjang hayat bermula sebaik sahaja dilahirkan. Pembelajaran bukan setakat merangkumi penguasaan pengetahuan kemahiran semata-mata, tetapi perkembangan emosi, sikap, nilai estetika dan kesenian serta ciri dalaman juga dipengaruhi oleh pembelajaran.Pembelajaran membawa perubahan pada diri seseorang, sama ada perubahan ke arah kebaikan ataupun keburukan, Walaubagaimanapun, perubahan yang disebabkan oleh kematangan seperti berjalan, makan, penyakit dan kelaparan tidak dianggap sebagai pembelajaran.

Pembelajaran juga merupakan kaedah memperoleh ilmu pengetahuan atau kemahiran melalui pengalaman, amalan yang dipelajari atau yang diajarkan. Pembelajaran secara tradisional seperti yang diamalkan oleh kebanyakan pelajar adalah pembelajaran yang pasif. Mereka menghabiskan kebanyakan masa persekolahannya dalam suasana pembelajaran yang pasif dengan menghafal semua maklumat yang disampaikan oleh guru secara syarahan tanpa ada penglibatan pelajar dalam pembelajaran. Pelajar hanya mendengar syarahan dan mengingati fakta yang diberikan oleh guru. Kaedah ini lebih pada pembelajaran berpusatkan guru (Elizabeth et al., 2002).

Pembelajaran yang pasif ini perlu berubah kepada kaedah pembelajaran dan pengajaran yang aktif untuk membolehkan pelajar memberi tumpuan dalam pembelajaran. Kaedah pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang aktif dapat merangsang pelajar dengan mengaktifkan pengetahuan yang sedia ada dan dihubungkaitkan dengan pengetahuan baru. Pengetahuan yang baru diperolehi ini pula terus boleh diguna pakai pada masa hadapan (Khoo, 2003).



NAMA AHLI KUMPULAN 2

  1. CHEN HUI TENG (D20191087732)
  2. NURUL ATIKAH BINTI RAZALI (D20191089005)
  3. NURUL SHUHAIRA BINTI ISMAIL (D20191089017)
  4. NOOR ANNIS AZWIN BINTI FAKARUDDIN (D20191088151)
  5. MUHAMMAD UMMAIR AFFAN BIN MUHAMAD SALIM (D20191090354)

No comments:

Post a Comment